World Met Day 2018
Jabatan Meteorologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memeterai memorandum persefahaman. Gambar oleh Rayner.

UCAPAN PERASMIAN

OLEH

 YB DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

 

SEMPENA

 SAMBUTAN HARI METEOROLOGI SEDUNIA 2018

DAN

PELANCARAN APLIKASI RakanMET

 

 23 MAC 2018 (JUMAAT)

2.55 PETANG

PUSAT OPERASI CUACA DAN GEMPA BUMI SABAH,

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KOTA KINABALU

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis,

 

  1. Prof. Madya. Dr. Ramzah Dambul

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi) MOSTI

  1. Encik Alui BIN bahari

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia

  1. Prof. DATIN PADUKA DATO’ Dr. AINI IDERIS

Naib Canselor

Universiti Putra Malaysia

  1. ENCIK AZEMI BIN DAUD

Pengarah Pejabat Meteorologi Sabah

 PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN TERTINGGI MOSTI

KETUA-KETUA JABATAN DAN AGENSI

DATO’-DATO’, DATIN-DATIN, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN yang saya hormati SEKALIAN,

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Negaraku Malaysia dan Salam 1MOSTI.

  1. Saya berasa bangga kerana dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini. Ini kerana Tanggal 23 Mac setiap tahun seluruh komuniti meteorologi di 191 buah negara anggota di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia (World Meteorological Organisation – WMO), termasuk Malaysia meraikan sambutan Hari Meteorologi Sedunia dengan tema tertentu. Difahamkan pada tahun ini tema Sambutan Hari Meteorologi Sedunia adalah Siap siaga-cuaca; Pintar-iklim ataupun “Weather-ready; Climate-smart”.

 

  1. Pemilihan tema ini jelas menekankan kepentingan pengetahuan dan kefahaman tentang cuaca dan iklim yang mendalam bagi memastikan masyarakat dan Negara lebih bersiap sedia menghadapi sebarang bencana atau ancaman dari perubahan cuaca dan iklim pada masa kini dan akan datang. Secara globalnya, masyarakat di seluruh pelosok dunia terdedah dengan pelbagai ancaman dari aspek cuaca ekstrem antaranya taufan, ribut tropika, hujan lebat, gelombang panas, cuaca kering dan cuaca sejuk.

 

  1. Kesan perubahan iklim juga kini dapat dirasai di Malaysia. Sejak kebelakangan ini, kejadian cuaca ekstrem lebih kerap berlaku. Terkini ialah hujan lebat di Pulau Pinang pada 4 November 2017 yang telah melumpuhkan bandar tersebut. Para saintis percaya perubahan iklim meningkatkan keamatan, kekerapan kejadian cuaca dan fenomena iklim yang melampau dan berisiko mendedahkan masyarakat dunia dengan ancaman bencana hidro-meteorologi.
World Met Day 2018 (2)
Bersama-sama pelajar-pelajar UPM yang hadir ke majlis. Gambar oleh Rayner.

 

Impak Cuaca Ekstrem

 

  1. Pada 18 Januari 2018, pihak Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) telah mengeluarkan Kenyataan Media bahawa terdapat petanda yang jelas mengenai perubahan iklim jangka panjang yang berterusan yang disebabkan oleh peningkatan kepekatan gas rumah hijau. Tahun 2015, 2016 dan 2017 telah disahkan sebagai tiga tahun paling panas dalam rekod. Tahun 2016 masih memegang rekod global paling panas, manakala tahun 2017 adalah tahun paling panas tanpa El Niño. Analisis bersepadu menunjukkan bahawa purata suhu permukaan pada tahun 2017 adalah kira-kira 0.46 °C lebih tinggi berbanding purata suhu dunia jangka panjang, 1981-2010 (14.3 °C).

 

  1. Ini sekali gus akan memberi kesan ke atas aspek keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan manusia, menggugat pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara serta menyebabkan berlakunya perubahan ke atas landskap dan alam semula jadi. Dalam menghadapi situasi ini, kita perlu mengorak langkah supaya sentiasa sedia menghadapi sebarang perubahan dan ancaman cuaca secara bijak. Langkah awal yang perlu diambil adalah mendalami lebih lanjut serta memahami cuaca dan iklim yang berlaku di Malaysia dan kawasan serantau.

 

  1. Pada masa ini, WMO dan ahli-ahlinya termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia memberi keutamaan dalam misi mereka melindungi kehidupan dan harta benda daripada risiko yang berkaitan dengan cuaca, iklim dan air dengan menyokong agenda global mengenai pembangunan lestari, adaptasi perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana. Pembekalan ramalan cuaca semasa, sederhana dan jangka panjang membolehkan pihak berkepentingan membuat keputusan segera dalam menghadapi sebarang risiko bencana.

 

Inisiatif Negara Terhadap Cuaca dan Iklim

 

  1. Di peringkat antarabangsa, di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC), Malaysia telah menandatangani Protokol Kyoto dan Perjanjian Paris. Ini menunjukkan Kerajaan adalah komited dalam menangani isu iklim dunia dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% pada tahun 2030. Usaha Kerajaan dalam menghadapi masalah iklim sejagat dapat dilihat melalui beberapa inisiatif antaranya seperti yang digariskan dalam Dasar Biofuel Negara (2006), Dasar Perubahan Iklim Negara (2009) dan Dasar dan Pelan Tindakan Tenaga Boleh Diperbaharui (2010).

 

  1. YAB Perdana Menteri turut menekankan, Malaysia tetap teguh dengan misinya untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) yang memberi fokus terhadap usaha pertumbuhan hijau, amalan penggunaan dan pengeluaran secara lestari, pemuliharaan sumber asli dan meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim yang mampu mengundang bencana alam.

 

9.         Malaysia juga turut melaksanakan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction (SFDRR) 2015-2030 bagi mengurangkan risiko sedia ada dan mencegah perkembangan risiko baharu serta memperkuat daya tahan terhadap bencana.

 

Sistem Amaran Awal

 

  1. Pengoperasian Sistem Amaran Awal merupakan salah satu elemen penting dalam pengurangan risiko bencana. Menyedari hakikat itu, bagi memantapkan kesiapsiagaan negara menghadapi cuaca ekstrem, Kerajaan telah melaksanakan projek untuk memperkasakan sistem amaran awal cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) yang merangkumi model tinjauan cuaca dan sistem penyediaan maklumat cuaca.

 

  1. Pelaksanaan projek ini telah meningkatkan keupayaan model cuaca beresolusi tinggi dan memanjangkan tempoh tinjauan daripada 3 (tiga) hari kepada 7 (tujuh) hari serta meningkatkan resolusi model cuaca kepada 1 kilometer berbanding 4 kilometer sebelum ini. Sistem penyediaan maklumat cuaca pula ditambah baik bagi mentransformasikan produk-produk cuaca sedia ada kepada produk-produk yang lebih mesra pengguna dan memenuhi kehendak terkini pihak-pihak berkepentingan. Projek ini membolehkan maklumat dan amaran cuaca dikeluarkan lebih awal, cepat dan tepat.

 

  1. Peranan MOSTI melalui MMD amat penting dalam menyediakan maklumat cuaca kritikal kepada pengurusan bencana negara. Lebih penting lagi ialah penyebaran awal amaran cuaca ini dilaksanakan menerusi rangkaian pemantauan cuaca di MMD yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu merangkumi 43 Pejabat Meteorologi Utama, 490 Stesen Cuaca Auksiliari, lapan Stesen Pencerapan Udara Atas, 12 Stesen Radar Meteorologi dan satu Stesen Satelit Meteorologi serta model cuaca.

 

  1. Sebagai Kementerian yang menerajui agenda STI, MOSTI amat yakin bahawa kita mampu untuk mewujudkan sistem amaran awal yang dapat memberi maklumat dan pengetahuan yang sesuai untuk membuat keputusan yang tepat dan mengambil tindakan yang berkesan setanding dengan negara-negara maju. Namun, sistem amaran awal ini boleh gagal sekiranya amaran yang dikeluarkan tidak difahami golongan sasaran atau masyarakat.

 

  1. MOSTI melalui agensi/jabatan di bawahnya seperti Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa menganjurkan pelbagai program kesedaran awam kepada pelbagai peringkat masyarakat dan komuniti. Usaha-usaha ini selaras dengan inisiatif Kerajaan iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50) – satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia dengan memberikan perhatian terhadap kepentingan keperluan rakyat.

 

Pelancaran Aplikasi RakanMET

 

  1. Selaras dengan era digital, saya merasa amat bangga kerana MOSTI melalui Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengambil inisiatif memperkasakan sistem penyampaian maklumat dengan membangunkan aplikasi RakanMET seperti mana inisiatif Rakan Cop, PDRM.

 

  1. Aplikasi RakanMET ini merupakan aplikasi kedua yang dibangun selepas aplikasi myCuaca yang telah dilancarkan pada tahun 2015. Aplikasi RakanMET ini menyediakan saluran perkongsian maklumat mengenai keadaan cuaca di Malaysia. Melalui aplikasi ini orang ramai boleh melapor kejadian dan fenomena cuaca di kawasan masing-masing. Ianya juga berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dan jabatan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.

 

Memorandum Persefahaman

 

  1. Saya juga berasa amat bangga kerana pada hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memeterai memorandum persefahaman bagi mewujud dan meningkatkan hubungan kerjasama dalam bidang meteorologi dan iklim. Skop kerjasama yang dijalinkan merangkumi program penyelidikan, pembangunan, latihan, penerbitan serta pertukaran data dan maklumat berkaitan meteorologi, iklim dan geofizik.

 

  1. UPM merupakan sebuah Universiti yang sentiasa berusaha untuk meningkat dan memperkukuhkan kemampuan penyelidikannya manakala MMD sebuah Jabatan yang beroperasi bagi memantau dan mengeluarkan maklumat mengenai keadaan cuaca, iklim dan geofizik. Selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), saya yakin di bawah memorandum persefahaman ini, pihak MMD dan UPM dapat saling melengkapi dalam memperkukuh, menggalak dan membangunkan bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat yang berkaitan dengan meteorologi, iklim dan geofizik. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada MMD dan UPM atas usaha memeterai memorandum persefahaman tersebut.

 

PENUTUP

 

  1. Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan usaha gigih untuk menjayakan majlis sambutan ini iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia dan semua pihak yang turut terlibat.

 

  1. Akhir kata, selamat membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi dan semoga kita bertemu dalam program-program yang lain pada masa hadapan. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan SAMBUTAN HARI METEOROLOGI SEDUNIA 2018 DAN PELANCARAN APLIKASI RakanMET.

 

Sekian, terima kasih.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s