Berita Harian: STI penting dalam mencapai TN50 – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) Bilangan 3, Tahun 2017 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menekankan adalah mustahak untuk negara menggunakan acuan sendiri dalam menerima pakai perkembangan sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi mencapai matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri berkata, TN50 mengutamakan keperluan untuk melihat ke hadapan dan kajian masa hadapan menjadi semakin penting bagi mencapai matlamat itu.

“Perubahan semasa tidak boleh dielakkan, terutama bagi menghadapi cabaran abad ke-21 seperti globalisasi, era digital, krisis ekonomi, dan teknologi pengganggu (disruptive technologies) yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat.

“Negara membangun seperti United Kingdom, Finland dan Singapura sudah pun mengguna pakai metodologi ‘horizon scanning’ (pemantauan ufuk) dan ‘strategic foresight’ (pandangan masa hadapan strategik) bagi memastikan pelan jangka panjang negara masing-masing bertepatan dan sesuai dengan keperluan masa hadapan.

“Justeru, adalah mustahak untuk negara menggunakan acuan sendiri dalam merangka Malaysia 2050,” katanya dalam ucapan pembukaan sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau.

Pada majlis itu, Najib turut mengucapkan tahniah kepada Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid, kerana dianugerahkan ASEAN Biodiversity Heroes Award di Manila, Filipina, Selasa lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau baru-baru ini mengadakan dialog bersama komuniti saintifik Malaysia bagi berbincang mengenai kedudukan dan kepentingan STI dalam memastikan objektif serta misi TN50 tercapai.

Beliau turut mengesyorkan cadangan Malaysia Progresif 2050 yang dikemukakan komuniti saintifik dalam dialog berkenaan dibentangkan pada mesyuarat NSC akan datang kerana STI adalah pemangkin kemajuan pelbagai sektor dan lapangan merentasi kementerian serta agensi di negara ini.

Malah, katanya, sudah ada persetujuan dalam mesyuarat NSC terdahulu untuk mengarusperdanakan STI selepas dimaklumkan mengenai teknologi terkini bidang sukan, perhutanan, sumber asli dan sebagainya di mana perkongsian perlu diteruskan untuk pengetahuan ahli NSC, selain diperluas serta dikomersialkan untuk menjana ekonomi negara.

“Saya difahamkan, Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) sendiri sudah menerajui dan menggalakkan metodologi ‘scenario scanning’ (pemantauan senario) digunakan dalam penyediaan pelan tindakan negara.

“Saya begitu teruja apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengguna pakai metodologi pandangan masa hadapan dalam penyediaan pelan strategiknya dengan kerjasama Malaysian Foresight Institute (myForesight) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Sehubungan itu, ketiga-tiga kertas pertimbangan pada hari ini akan membincangkan perkara dan isu masa hadapan Revolusi Perindustrian Keempat, kerja masa hadapan dan keselamatan siber,” katanya.

Najib berkata, keupayaan untuk menguasai teknologi termasuk mengeksploitasi dan meneroka teknologi pengganggu adalah penting untuk transformasi pelbagai sektor ekonomi negara melalui STI supaya negara tidak ketinggalan dalam persaingan sehingga menjejaskan pembangunan, ekonomi, kesejahteraan serta keselamatan rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s